Random

Random
Apa apa saja

About Me

My photo
klang, selangor, Malaysia
bukan siapa siapa. cuma hamba YANG MAHA ESA..

Wednesday 26 February 2014

Begini BAHASA CINTA AYAH

Assalamualaikum~

Mula-mula terdetik nak update tentang PROMIS 2.0.

Pulang dari kelas, solat asar, duduk sebentar sambil menyelak majalah SOLUSI yang baru dibeli.

Cover depan sangat menarik hati aku. "SEMENTARA AYAH MASIH ADA"

Tangan menyelak setiap muka surat. Lalu terhenti pada penulisan Ustaz Pahrol. "BAHASA CINTA AYAH"

Baca dengan penuh minat. Tak sedar air mata menitis, makin lama hati terasa semakin sebak. Air mata makin laju mengalir. Aku lap, ia megalir lagi. Ah, sudah. Biarkan ia mengalir.

Ini sedikit penulisan ustaz Pahrol yang aku kongsikan. Aku tangguh dulu perkongsian PROMIS. Aku ingin kongsi BAHASA CINTA AYAH

- Tatkala tiba saat berpisah, kita perlu meninggalkan rumah untuk tinggal di asrama atau di perantauan. Ayah menemani hingga ke perhentian terakhir, ke stesen bas/kereta api atau di tepi kereta sendiri. Kita lihat wajah ibu sudah mendung dan menitiskan air mata. Namun, ayah masih begitu juga. Dengan tenang, ayah menghulurkan tangan dan kita menciumnya.-

Lagi

- Ayah berpaling dan pamitan itu pun bermula. Ketika wajah ibu masih merenung di kejauhan dengan lambaian tangannya yang sangat sayu, pandangan ayah pula terus ke hadapan, fokus pada pemanduan, seolah-olah tidak terguris oleh perpisahan. Namun, berminggu kemudian, ibu membocorkan rahsia. Ayah lah paling kerap menjengah bilik tidur dan katil yang kita tinggalkan. Ayah jadi seorang perindu, kata ibu-

Cukup sekadar itu, tak mampu aku teruskan bacaan aku. Semakin sebak. Cukup sekadar itu mengingatkan aku pada ayah aku. Persis seperti yang dituliskan oleh ustaz Pahrol.

Kali pertama aku ditinggalkan di asrama, tercampak jauh di utara, sedangkan keluarga jauh di selangor.

Tiba masa bersalaman dengan ibu ayah, adik-adik. Mereka meminta diri untuk pulang. Air mata aku laju mengalir. Ibu juga menangis, memeluk aku kuat, lama. Ayah hanya memandang sambil senyum. Giliran bersalaman dengan ayah. Ayah mengusik aku "eleh, tak malu, nangis!" lalu ayah gelak, sambil mengusap kepala aku perlahan. Riak wajahnya masih selamba, tiada sayu.

Ayah laju berjalan menuju kereta. Sekali pun, ayah tak toleh ke belakang memandang aku. Aku terkilan.

Sedangkan ibu masih melambai aku dan lap air matanya. Cukup terkilan aku dengan ayah pada waktu itu. Sampai hati tak toleh melihat aku walau hanya sekali.

Seminggu kemudian..

Ibu menelefon, ceria suaranya. Ibu membongkarkan rahsia selama aku tiada di rumah.

Rupanya, ayah tidak menoleh melihat aku di belakang kerana air matanya sedang deras mengalir. Dalam kereta, berkali ayah mengelap air matanya. Ayah terkenangkan aku ketika mereka makan bersama.

Suatu pagi, sedang mereka enak bersarapan bersama. Ayah menghentikan suapannya, air matanya mengalir perlahan.

Dengan sebak, ayah berkata pada adik-adik aku "korang tak rindu kakak ke? kakak suka makan mee basah ibu ni"

Suara ayah makin sebak, air matanya deras mengalir, tak mampu menjamah makanan.

Sebelum aku balik cuti semester sem lepas, ayah demam. Tak baik-baik. Ibu kata "demam sebab rindu along"

Aku pulang ke rumah, demam ayah beransur pulih. Seronok menyuapkan aku ais krim. Lega demam ayah kian beransur pergi. Ayah kata "demam lah, kau jauh" walau nadanya bersahaja, wajahnya selamba, aku tahu itu dari lubuk hatinya.

Ah, sudah. Tak mampu aku menaip lagi. Cuma hendak aku sampaikan melalui sedikit cerita yang aku kongsikan..



Hargailah ayah.
Diam ayah, bukan bermakna dia tak sayang
Tapi ia merenung dan memikirkan langkah anak-anaknya dalam kehidupan
Selamba ayah bukan kerana hati kering
Tapi itulah kekuatan untuk dia terus melangkah demi anak-anaknya
Garang ayah bukan kerana benci
Tapi kerana ingin mengajar anak-anak menjadi kental.

Ibu berkorban, ayah turut berkorban
Kita cinta ibu, ayah juga kita cinta
Kedua-duanya punya cinta yang diluahkan dengan bahasa tersendiri.
Wahai anak, fahamilah..